Hosting Gratis
Posted by : Yuki Senin, 08 Juli 2013

Ulasan Drama: KDrama 2009 – You’re Beautiful (Kompilasi)
Versi Bahasa Melayu
(Click here for the English version of this drama review)

Pengenalan
Go Mi Nyeo, seorang gadis naif yang impian hidupnya selama ini adalah untuk menjadi seorang rahib, terpaksa memulakan langkah baru dalam hidup apabila dia diminta untuk menyamar sebagai abang kembarnya sendiri. Dia sedikitpun tidak pernah menyangka bahawa penyamaran tersebut akan membawanya kepada banyak lagi cabaran-cabaran lain yang tidak terduga dan seterusnya membuka lembaran baru dalam hidupnya yang selama ini serba ringkas tetapi baginya penuh bermakna itu. Dengan meminjam identiti abang kembarnya, Go Mi Nyeo mula bergaul dengan sekumpulan penyanyi lelaki yang cukup popular, bergelar A.N.Jell. Dan dengan berpegang kepada niat untuk menjejak ibu kandungnya, dia mula belajar untuk mengenali selok-belok kehidupan di sebalik dunia hiburan, suatu kehidupan yang selama ini tidak pernah diketahui akan kewujudannya.
  • Judul Drama (Bahasa Inggeris): You’re Beautiful / You’re Handsome
  • Judul Drama (Hangeul): 미남이 시네요 (Mi-nam-i Shi-ne-yo)
  • Genre: Komedi Percintaan
  • Bil. Episod: 16
  • Tarikh Siaran: 07 Okt 2009 hingga 26 Nov 2009 (SBS)

Analisa Plot / Jalan CeritaSeperti drama hasil tulisan Hong Sisters yang lain, drama ini bermula dengan adegan jenaka yang tidak terhitung banyaknya di suku pertama penyiarannya, sebelum elemen serius diterapkan sedikit demi sedikit sewaktu drama ini semakin rancak berlangsung. Watak Go Mi Nyeo / ‘Go Mi Nam’ yang pada asalnya ditonjolkan sebagai seorang gadis yang naif, secara perlahan tetapi ketara, berubah menjadi seorang wanita muda yang lebih matang apabila dia mula berdepan dengan pelbagai rintangan dalam usahanya untuk menyembunyikan identiti sebenarnya itu. Dalam masa yang sama, dia juga terpaksa bergelut dengan satu perasaan yang baru pertama kali dirasainya, terhadap salah-seorang anggota kumpulan A.N.Jell. Bermula dari sini, jalan cerita drama ini mula menjadi semakin kompleks dan lebih dramatik.

Analisa Watak
Park Shin Hye (박신혜)
sebagai
‘Go Mi Nam’ (고미남) (‘Lelaki’) / Go Mi Nyeo (고미녀) (Perempuan)
Watak: Go Mi Nyeo adalah seorang gadis periang yang menjalani hidup dengan gembira meskipun dia membesar di rumah anak yatim. Ayahnya meninggal sewaktu dia masih kecil dan satu-satunya ahli keluarga yang tinggal adalah abang kembarnya, Go Mi Nam. Impian hidupnya selama ini adalah untuk menjadi seorang rahib kerana dia berasa terhutang budi kepada Mother Superior (Ketua Biarawati) yang telah mendidik serta membesarkannya dengan penuh perhatian dan kasih-sayang. Abang kembarnya pula, memasang cita-cita untuk menjadi bintang ternama, sebagai salah-satu langkah mudah untuk mencari ibu kandung yang tidak pernah mereka kenali dan ketahui selama ini. Sebagai seorang gadis yang membesar di kalangan masyarakat yang mementingkan kejujuran dan hidup dalam serba kesederhanaan, Go Mi Nyeo mendapati dirinya berada dalam situasi yang begitu canggung apabila dia terpaksa menyamar dan berlagak sebagai abang kembarnya. Selain terpaksa menukar imej luaran dengan memotong pendek rambutnya yang panjang serta terpaksa mengenakan pakaian lelaki, dia juga terpaksa mula mempelajari bagaimana untuk hidup dalam dunia realiti di mana penipuan dan kebencian merupakan lumrah dalam masyarakat.
Pelakon: Ini bukanlah kali pertama Park Shin Hye (PSH) memegang watak utama di dalam sesebuah produksi namun wataknya kali ini dirasakan begitu sesuai dengan rupa paras dan personaliti beliau. Pada era kini di mana ‘flower boys’ (atau lelaki berpenampilan cantik seperti wanita) begitu diterima ramai, maka watak wanita yang menyamar sebagai lelaki yang dilakonkan oleh PSH ternyata nampak meyakinkan. Selain daripada itu, beliau juga boleh menyanyi dengan baik. Meskipun bergelar aktres sepenuh masa (sepanjang pengetahuan 花火Hana-bi, PSH tidak pernah menyanyi secara profesional), PSH berjaya melakonkan watak seorang penyanyi ‘flower boy’ yang kurang berpengalaman dengan baik. Meskipun tidak mengenakan banyak solekan untuk wataknya sebagai ‘Go Mi Nam’, beliau masih berjaya mengekalkan imej kewanitaannya menerusi parasnya yang comel dan keanak-anakan itu.

Jang Geun Seok (장근석)sebagai
Hwang Tae Kyeong (
황태경)
Watak: Hwang Tae Kyeong pada luarannya mungkin kelihatan keras dan tidak berperasaan, tetapi pada dalamannya, dia adalah ibarat seorang bayi manja yang sentiasa membutuhkan kasih-sayang serta perhatian. Diabaikan sejak kecil oleh ibunya tanpa sebarang alasan munasabah, Hwang Tae Kyeong cuba untuk melindungi dirinya daripada disakiti dengan membina benteng pertahanannya sendiri. Oleh itu, dia mungkin kelihatan kasar dan dingin bagi mereka-mereka yang tidak begitu mengenalinya, tetapi sekali hatinya disentuh oleh insan tertentu, dia mampu bertukar menjadi seorang insan yang menawan dan penyayang dengan caranya yang tersendiri. Dan, caranya meluahkan rasa cintanya juga mungkin kelihatan pelik dan aneh bagi yang tidak mengenali, yang mana perasaan sayang itu mungkin boleh disalahtafsirkan sebagai satu kebencian.
Pelakon: Sebagai seorang yang bergelar bintang besar pada usia yang masih muda, ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Jang Geun Seok (JGS) muncul dan kelihatan begitu serasi dengan watak yang diberikan. Ketika beliau dikehendaki melakonkan adegan yang menjerih perasaan, ternyata JGS berjaya melakonkan dengan begitu cemerlang. Dan ketika beliau dikehendaki muncul dengan imej seorang penyanyi tersohor, beliau turut berjaya melakonkannya dengan cemerlang juga. Meskipun lebih dikenali ramai dengan bakat besarnya dalam bidang lakonan, JGS sebenarnya turut semakin dikenali kerana memiliki suara yang lunak, sebagaimana yang pernah ditonjolkan di dalam filem serta drama terdahulu. Memandangkan ini adalah bukan kali pertama bakat nyanyian beliau dicungkil di dalam sesebuah produksi, dan memandangkan beliau sendiri gemar menyanyi, maka watak yang dipegang oleh JGS di dalam drama ini kelihatan begitu realistik seolah-olah dia benar-benar adalah seorang penyanyi profesional. Kemampuan beliau untuk menyelami watak yang diberikan sememangnya adalah salah-satu kekuatan utama drama ini. Dan, 花火 Hana-bi berasa gembira sekali kerana dapat menyaksikan JGS tampil dalam watak yang lebih sesuai dengan usia sebenarnya memandangkan JGS lebih banyak memegang watak yang lebih matang dalam lakonannya sebelum ini.

Jeong Yong Hwa (정용화)sebagai
Kang Shin Woo (
강신우)
Watak: Kang Shin Woo adalah watak tipikal yang biasa ada di dalam sesebuah drama apabila watak utamanya adalah seorang lelaki yang dingin dan tidak bertimbang rasa. Watak ini adalah watak yang berlawanan terus dengan watak Hwang Tae Kyeong. Kang Shin Woo adalah seorang lelaki yang sangat baik dan prihatin, dan apabila dia jatuh cinta kepada seseorang, dia akan melayannya seumpama sebutir permata yang amat berharga. Namun, kebaikannya itu adalah juga sebahagian daripada kelemahannya kerana kecenderungannya untuk menonjolkan rasa kasih-sayangnya itu boleh membuatkan perlakuannya dilihat sebagai menjengkelkan dan merimaskan. Namun, dia adalah lelaki idaman setiap gadis.
Pelakon: Jeong Yong Hwa (JYH) adalah seorang penyanyi profesional, maka ianya mungkin tidak begitu sukar bagi JYH untuk memaparkan imej seorang penghibur memandangkan beliau sememangnya telah lama bergelar penyanyi dari sebuah kumpulan K-Pop terkenal, C.N.Blue. Walau bagaimanapun, memandangkan ini adalah percubaan pertama beliau selaku pelakon, malah beliau dikehendaki pula muncul sebagai seorang pemain gitar (yang tidak pernah dilakukannya sewaktu bersama C.N.Blue), maka pengalaman ini pastinya adalah sesuatu yang mencabar bagi beliau. Adakalanya JYH kelihatan kurang selesa dengan watak yang diberikan, namun ianya tidak begitu menjejaskan keseronokan penonton dalam menikmati drama ini. Secara keseluruhannya, beliau telah melakonkan watak yang diberikan dengan agak baik, sesuai dengan kedudukannya selaku pelakon baru.

Lee Hong Ki (이홍기)sebagai
Jeremy (
제르미)
Watak: Jeremy adalah watak yang sangat disenangi ramai. Sebagai anggota paling muda dalam kumpulan tersebut, dia memiliki perwatakan yang nakal serta suka berjenaka. Dia juga senang didekati, oleh itu dia mudah untuk bergaul mesra dengan sesiapa sahaja. Jeremy adalah ibarat nadi drama ini. Karakternya membuatkan drama ini kekal ceria dan bertenaga di celah-celah kekusutan yang dihadapi oleh watak-watak lain dalam drama ini.
Pelakon: Lee Hong Ki (LHK) boleh dikategorikan sebagai sedikit lebih berpengalaman jika dibandingkan dengan Jeong Yong Hwa (JYH) dari aspek pengalaman berlakon. Datang dari latar belakang yang serupa, LHK dilihat lebih ‘bertuah’ kerana watak yang diberikan kepadanya adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan watak yang diberikan kepada JYH. Walaupun begitu, meskipun LHK mungkin kelihatan lebih seronok di lokasi penggambaran kerana melakonkan watak yang ceria, namun terdapat beberapa adegan yang dilakonkan oleh beliau yang berjaya membuatkan penonton terpegun dengan kemampuan lakonannya. Sewaktu wataknya dikehendaki bertukar kepada watak yang serius serta tegas, LHK berjaya ‘menukarkan’ dirinya, ‘masuk’ ke dalam ‘mood‘ tersebut, dan berjaya membuang terus imej keanak-anakan watak itu hampir dalam sekelip mata. Ternyata, LHK adalah seorang penyanyi yang bakat lakonannya tidak harus dipandang dengan hanya sebelah mata.

UEE (유이)sebagai
Yoo He Yi (유헤이)
Watak: Yoo He Yi adalah seorang penyanyi popular yang begitu disayangi oleh sekelian rakyat dan diberikan jolokan sebagai bidadari negara disebabkan oleh kemurahan hati serta kebaikan budi pekertinya. Namun, kelebihannya itu adalah palsu semata-mata. Meskipun dia nampak baik dan cantik pada pandangan masyarakat luar, dia sebenarnya adalah seorang yang biadab serta tidak bertimbang rasa. Dia juga adalah dalang di sebalik kesusahan yang menimpa ‘Go Mi Nam’ serta Hwang Tae Kyeong.
PelakonSelaku penyanyi yang baru ingin berjinak-jinak dengan dunia lakonan, UEE menerima banyak kutukan disebabkan oleh watak yang dipegangnya ini. Malang bagi artis yang bakat lakonannya tidak begitu menyerlah ini kerana beliau dikritik hebat oleh ‘anti-fans’ (peminat-peminat drama yang anti dengan beliau) yang mana penilaian mereka kebanyakannya telah dikelabui oleh rasa benci mereka terhadap watak jahat yang dilakonkan oleh UEE di dalam drama ini. Meskipun tidak dinafikan bahawa penyanyi muda ini (dari kumpulan penyanyi wanita, After School) perlu bekerja keras untuk menggilap bakat beliau dalam bidang lakonan, namun perlu diakui bahawa masih terdapat beberapa adegan penting yang UEE berjaya lakonkan dengan baik.

Kim Seong Ryeong (김성령)sebagai
Mo Hwa Ran (
모화란) – Ibu Tae Kyeong
Watak: Mo Hwa Ran barangkali adalah seorang ibu yang paling mementingkan diri sendiri yang pernah ada di muka bumi ini. Hanya kerana ingin memenuhi kemahuan diri, dia sanggup mengorbankan serta mempergunakan sesiapa sahaja termasuk anaknya sendiri. Malah, dia adalah seorang wanita yang penuh dengan tipu helah serta suka bermuka-muka, dan dia tahu bagaimana untuk memanipulasi kelemahan orang lain demi manfaat diri sendiri. Walaupun begitu, dia menganggap dirinya sebagai manusia paling tidak bernasib baik yang memerlukan simpati dan sokongan daripada orang lain, terutama daripada si anak yang malang itu.
PelakonWatak Kim Seong Ryeong ini adalah salah-satu watak yang paling dibenci dalam drama ini, selain daripada watak UEE. Wataknya memberikan justifikasi kepada personaliti Hwang Tae Kyeong yang eksentrik itu. Walaupun Kim Seong Ryeong tidak dikreditkan sebagai salah-seorang pelakon utama drama ini dan walaupun beliau tidak menerima sebarang anugerah menerusi watak ini, namun kemampuan beliau untuk melakonkan watak Mo Hwa Ran harus dipuji kerana beliau benar-benar berjaya membuatkan penonton meluat serta benci kepada watak tersebut.

Analisa Hubungan Antara Watak
‘Go Mi Nam’ dengan Hwang Tae Kyeong
Sebagai orang yang mula-mula sekali (secara terbuka) tahu tentang identiti sebenar Go Mi Nam (GMN), hubungan antara Hwang Tae Kyeong (HTK) dengan GMN semakin terjalin apabila dia mula membantu GMN untuk melindungi rahsia tersebut. Meskipun pada awalnya dia sangat keberatan, namun HTK tidak dapat mengelak daripada menghulurkan bantuan apabila dia mula menaruh simpati terhadap GMN. GMN pula, begitu bergantung kepada HTK setiap kali dia berdepan dengan masalah kerana dia menganggap HTK sebagai orang yang paling boleh dipercayai meskipun HTK selalu bercakap kasar dan keras layanannya terhadap GMN. Malah, GMN semakin berasa ‘serasi’ dengan layanan keras itu apabila dia mula mengenali peribadi HTK yang sebenarnya.
‘Go Mi Nam’ dengan Kang Shin Woo
Kang Shin Woo (KSW) juga adalah antara orang pertama yang tahu tentang identiti sebenar GMN. Namun, oleh kerana KSW memilih untuk berdiam diri, maka GMN langsung tidak menyedari bahawa KSW telah terus-menerus melindunginya tanpa pengetahuannya. GMN juga tidak menyedari bahawa kebaikan yang ditonjolkan oleh KSW kepadanya itu bukanlah hanya sekadar sebagai teman biasa.
‘Go Mi Nam’ dengan Jeremy
Oleh kerana mereka mempunyai personaliti yang serupa, maka GMN mendapati dirinya mudah untuk menyesuaikan diri di tengah-tengah kelompok lelaki tersebut, semuanya atas jasa Jeremy. Jeremy pula, pada mulanya melayan GMN sama seperti ahli-ahli A.N.Jell yang lain. Namun, apabila dia mula tertarik kepada GMN yang disangkanya adalah lelaki, si Jeremy yang malang ini mula berkelakuan aneh dan mula mempersoalankan tentang isu kecenderungan seksualiti dirinya sendiri. Dia tidak langsung menyedari bahawa GMN sebenarnya adalah seorang perempuan dan dia pada hakikatnya, sememangnya bukan seorang lelaki ‘homo’.
Hwang Tae Kyeong dengan Yoo He Yi
Mereka bermula sebagai pasangan kekasih olok-olok apabila pihak media tersalah tafsir tentang hubungan mereka. Yoo He Yi walau bagaimanapun, mula menganggap HTK sebagai teman lelaki sebenar apabila dia mula menaruh perasaan terhadap HTK. Oleh itu, dia cuba seboleh mungkin untuk memenangi hati HTK meskipun menyedari peluangnya untuk berjaya adalah terlalu tipis.
Hwang Tae Kyeong dengan Mo Hwa Ran (Ibu)
Mo Hwa Ran muncul kembali dalam hidup HTK selepas menghilangkan diri selama beberapa tahun. Namun, dia pulang kali ini dengan niat untuk menagih sesuatu daripada HTK. Sebagai seorang anak yang sentiasa mendambakan kasih-sayang dan perhatian daripada ibunya, HTK berdepan dengan dilema apabila dia dipaksa untuk memenuhi keinginan si ibu yang mementingkan diri itu, kerana menyedari perbuatan tersebut pastinya akan menyebabkan dia tidak dapat mengelak daripada melukakan hati sendiri.

Analisa Produksi & SinematografiSebagai sebuah drama yang mengisarkan tentang kisah di sebalik tabir kehidupan sekumpulan penghibur, drama ini tidak akan lengkap tanpa senarai muzik atau lagu tema rasmi (OST) yang hebat. Lagu-lagu tema ini sememangnya adalah salah-satu kekuatan utama drmaa ini selain daripada jalan ceritanya yang penuh dengan gelak ketawa serta keriangan. Daripada pengalaman peribadi, meskipun telah bertahun drama ini tamat penyiarannya, lagu-lagu OST drama ini masih kekal sebagai lagu pilihan segelintir penggemar K-Drama (memandangkan blog peribadi blog ini masih lagi menerima pengunjung pada setiap hari yang mencari lagu-lagu seperti ‘What Should I Do?’, ‘Coming Down From Heaven’, ‘Without A Word’, ‘Lovely Day’, ‘Promise’ dan ‘Still’). Selain daripada itu, lagu nyanyian ‘Jeremy’ di dalam Episod 14, ‘Such Good Words’ juga masih mendapat perhatian daripada penonton-penonton yang terhibur dengan drama ini. Dan, ‘Like A Fool’, lagu yang dinyanyikan oleh ‘Kang Shin Woo’ di dalam Episod 12, turut membuktikan bahawa penonton terpaut dengan drama ini kerana lagu-lagunya yang menarik serta sesuai dengan ‘mood‘ drama ini. Melodinya yang indah, digabungkan pula dengan lirik yang bermakna dan bertepatan sekali dengan jalan cerita, berjaya menyentuh hati ramai penonton. Dengan adanya barisan pelakon menawan yang bekerjasama di bawah satu produksi, dan dengan adanya gabungan lagu tema, kostum, set penggambaran dan pemandangan yang menawan kalbu, drama ‘You’re Beautiful’ ini sememangnya adalah drama yang menawan hati untuk ditonton.

Adegan Paling Diminati (AWAS! ‘SPOILER!’)
  • Episod 1: Bunga kekwa kuning bertukar coklat (mati!) selepas Go Mi Nam (GMN) termuntah ke dalam pasunya
  • Episod 2: GMN terperangkap di dalam bilik persalinan lelaki selepas latihan menari dan Shin Woo terpaksa menutup muka GMN dengan tuala sebelum menolaknya keluar dari tempat lelaki-lelaki yang ‘terdedah’ itu (Nota: Jeong Yong Hwa diberi gelaran ‘towel guy’ (jejaka tuala) disebabkan adegan ini)
  • Episod 3 & 4: Hwang Tae Kyeong (HTK) cuba menyelematkan GMN daripada lemas tetapi dia sendiri kemudiannya yang lemas
  • Episod 5: Pertemuan yang menyakitkan hati antara HTK dengan ibunya di sebuah restoran yang membuatkan HTK teringatkan kembali kenangan pahit yang pernah terjadi antara mereka sewaktu dia masih kecil
    (Nota: Ini adalah adegan yang menyedihkan tetapi ianya adalah adegan wajib tonton untuk drama ini)
  • Episod 6: GMN keluar membeli-belah seorang diri berdasarkan panduan yang diberikan oleh Shin Woo tanpa menyedari yang Shin Woo sebenarnya hanya berada beberapa meter sahaja di belakangnya sepanjang pengalaman membeli-belah tersebut
  • Episod 7: HTK dikejar oleh seekor khinzir dan GMN terpaksa keluar mencarinya
  • Episod 7: GMN mengejutkan semua orang apabila dia menyanyi dengan sepenuh hati sewaktu sesi rakaman lagu
  • Episod 8: HTK cuba menahan sebak selepas satu lagi pertemuan dengan ibunya yang tidak berhati perut itu tetapi akhirnya dia menangis (meratap!) seorang diri diri di dalam kegelapan malam
    (Nota: Satu lagi babak sedih yang tidak harus tidak ditonton. Sungguh menyayat hati!)
  • Episod 9: Satu pembedahan yang sadis (aneh dan ‘keterlaluan’) untuk menghasilkan ‘pig-rabbit‘ – anak patung arnab berhidungkan ‘cik babe’ (khinzir)
  • Episod 10: HTK, Jeremy and Kang Shin Woo ‘bergaduh’ sesama sendiri untuk cuba memenangi GMN sewaktu dia tiba-tiba jatuh sakit dan memerlukan perhatian
  • Episod 11: Jari GMN terlekat sesama sendiri sewaktu dia cuba memperbaiki pin rambutnya yang rusak
  • Episod 12: Reaksi GMN dan HTK selepas satu insiden (AWAS! ‘SPOILER!‘) ciuman yang ‘tidak disengajakan’
    (Nota: Nantikan kemunculan satu pertunjukan bunga api yang istimewa!)
  • Episod 13: GMN dand Kang Shin Woo sebagai pasangan kekasih imaginasi – mereka mereka-reka cerita tentang pertemuan pertama mereka dan bagaimana mereka boleh jatuh cinta kepada satu sama lain, dan tentang (AWAS! ‘SPOILER!’) ‘ciuman pertama’ mereka
  • Episod 13: GMN mendaftar sebagai salah-seorang ahli kelab peminat HTK secara dalam talian dan diminta untuk menilai HTK berdasarkan beberapa kriteria (tanpa menyedari bahawa soalan-soalan tersebut datang dari HTK sendiri!) – mereka kemudiannya mengadakan satu ‘majlis pertemuan dengan peminat’ yang cukup istimewa
  • Episod 14: Reaksi GMN selepas HTK meluahkan perasaan kepadanya
    (Nota: Saksikan GMN dengan sedunya setiap kali dia mendengar perkataan ‘like‘ /suka!)
  • Episod 14: Adegan di dalam bas sewaktu Jeremy menyanyikan sebuah lagu gembira, ‘Such Good Words’, dengan nada yang menyentuh hati
  • Episod 15 & 16: GMN menyanyikan lagu ‘What Should I Do?’ di sebuah pusat karaoke dan kesemuanya anggota A.N.Jell kemudiannya kelam-kabut keluar mencari GMN
  • Episode 16: HTK menyanyikan lagu ‘What Should I Do?’ di sebuah konsert A.N.Jell

Dialog Paling Disukai (AWAS! ‘SPOILER!’)
[Dialog ini dipetik dan diterjemahkan daripada sarikata Bahasa Inggeris (BI) yang diperolehi dariWithS2, maka kredit harus diberikan kepada penterjemah asal]
Nota: Dialog ini mungkin sedikit berbeza dengan dialog asal terjemahan WithS2. Sila rujuk ulasan drama versi BI untuk dialog yang dipetik daripada sarikata WithS2. 
  • Episod 07:
HTK (kepada dirinya sendiri): Di tempat yang tiada peminat mahupun pemberita mengejar aku… kenapa pula ada seekor khinzir yang sedang mengejar?
  • Episod 07:
GMN: Hyeong-nim, saat ini saya hanya dapat melihat sebutir bintang.
HTK: Apa? Bukankah kamu kata terdapat banyak bintang di langit sana?
GMN: Ya, memang, tetapi hanya terdapat satu bintang yang bersinar begitu indah sekali. Saya hanya dapat melihat bintang itu.
  • Episod 12:
GMN (kepada dirinya sendiri): Aku tidak dapat melihat bintang kerana air mata ini mengalir tanpa henti. Jika aku terus tidak dapat melihatnya, aku tidak akan mengharap, dan saya tidak akan berasa kecewa. Aku berharap aku tidak dapat melihatnya.
HTK (kepada GMN): Aku sudah dapat melihat kamu dengan jelas sekarang. Ianya terlalu terang dan kamu tidak dapat melihat ke sini, bukankah begitu? Adakah kamu selalu menangis sebegini apabila aku tidak dapat melihat kamu?
GMN: Saya tidak akan menangis lagi. Tolong anggap yang kamu tidak dapat melihat saya.
HTK: Bagaimana aku dapat berpura-pura tidak melihat kamu sedangkan aku dapat melihat kamu sejelas ini?! Go Mi Nam, kamu memang sentiasa memandang ke arah aku seperti ini, bukankah begitu? Aku tidak pernah tahu kerana aku tidak nampak kamu.
GMN: Tolong anggap sahaja yang kamu tidak tahu. Saya akan berhenti memandang ke arah kamu.
HTK: Kamu tidak boleh berhenti memandang! Kamu tidak boleh berhenti apabila hati kamu menyukainya. Teruskan memandang aku. Seperti yang selalu kamu lakukan. Seperti yang selalu, pandanglah hanya ke arah aku. Go Mi Nam, dari saat ini, tentang kamu menyukai aku… aku akan mengiktirafnya.
  • Episod 13:
GMN: Adakah dia (pemberita itu) akan benar-benar percaya yang saya ini adalah seorang perempuan dan bukan Go Mi Nam?
HTK: Di mata aku, kamu sememangnya seorang perempuan.
KSW (kepada HTK): Dari saat ini, dia adalah perempuan milik aku. Aku akan membawanya pergi.
  • Episod 13:
GMN: …Tetapi saya tidak tahu tentang perasaan kamu, Shin Woo hyeong.
KSW: Kamu tidak tahu kerana bayang saya melindungi diri saya.
  • Episod 14:
Jeremy (sebelum menyanyikan lagu ‘Such Good Words’): Kata-kata yang indah ini adalah begitu berharga buat saya, kata-kata yang saya pegang dengan sepenuh hati. Oleh kerana terlalu memegangnya dengan sepenuh hati, maka mungkin sekarang ia bermaksud, kata-kata ini tidak dapat diluahkan lagi. Tetapi saya berharap ianya tidak akan menjadi kata-kata yang tidak ingin kamu dengar, kata-kata yang tidak bermakna atau kata-kata yang menyebabkan kamu bersedih.
(Nota: Jeremy sedang bercakap dengan seseorang menerusi telefon
tetapi sebenarnya dia menujukan kata-kata ini kepada 
GMN)
  • Episod 15:
HTK (kepada dirinya sendiri): Ianya terlalu gelap, aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku akan menganggap yang sekeliling aku ini semuanya gelap belaka.
  • Episod 15:
KSW (kepada GMN): Saya akan memandang ke arah kamu, jadi, jangan cuba lari ke tempat yang saya tidak dapat melihat kamu. Pandanglah ke arah saya.
  • Episod 15:
GMN (secara tidak langsung kepada HTK): Kamu adalah cahaya yang sama, yang tetap bersinar dengan begitu terang. Meskipun kamu berada jauh dari sisi, saya akan tetap melindungi kamu.
  • Episod 16:
HTK (kepada GMN): Aku tidak dapat melihat kamu kerana ianya terlalu terang di atas sini, dan ianya terlalu gelap di bawah sana, tempat kamu berada. Sudah aku nyatakan sebelum ini agar kamu tidak berada di tempat yang aku tidak dapat melihat kamu! Datanglah ke sini, ke tempat yang aku dapat melihat kamu. Izinkan aku untuk melihat kamu.

Senarai Semak Penonton
[Perkara-perkara yang anda harus perhatikan sewaktu menonton drama ini!]
  • Si ‘pig-rabbit‘ (돼지토끼 / Dwae-ji-to-kki) yang cukup terkenal itu – seekor anak patung arnab yang terpaksa menjalani satu pembedahan yang sadis (aneh dan ‘keterlaluan’) ke atas hidungnya. Hidung si arnab digantikan dengan hidung ‘cik babe’ (khinzir) oleh ‘pakar bedak plastik’, Hwang Tae Kyeong (HTK).
  • Gaya rambut HTK yang pelik dan pelbagai, antaranya: (i) 미끌머리 (Mi-kkeul-meo-ri / Gaya Tukul) – untuk menonjolkan HTK sebagai seorang yang berkarisma (juga dikenali sebagai‘slippery hair’ atau rambut licin), (ii) 엘비스 머리 (El-bi-seu Meo-ri / Gaya Elvis Presley) – untuk menonjolkan gaya seorang idola, dan (iii) 사과 머리 (Sa-gwa Meo-ri / Gaya Buah Epal) – gaya HTK dalam versi yang lebih santai
  • Parodi di tengah-tengah dan di akhir episode, antaranya: parodi SNSD (‘Tell Me Your Wish‘/’Genie’), 2Ne1 TV, Seo Ta Ji (‘I Know‘), DJ Doc (‘Run to You‘) dan BEG (‘Abracadabra‘). Malah, adegan HTK dikejar ‘cik babe’ (khinzir) yang cukup terkenal itu juga sebenarnya adalah parodi bagi iklan yang dilakonkan oleh aktor So Ji Seop untuk produk Cowon S9 (sebuah MP3).
  • Teknik mengawal perasaan GMN yang unik – teknik ‘akupunktur’ yang diajar oleh Pengurus Ma.
  • Aksi Jeremy yang comel, gaya rambut Anak Siput (‘Little Snail’)nya, serta si ‘Angelina Jolie’ (anjing peliharaan Jeremy baka Labrador)
  • Keserasian hubungan (‘chemistry‘) yang pelik antara Pengurus Ma dengan Koordinator Wang (pereka stail), dan imaginasi ‘liar’ mereka

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © 2013 Yuki Marisa - Shingeki No Kyojin - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -